Tuesday, June 21, 2011

Bersih 2.0 : "Kami Tak Takut Ugutan Polis"

SHAH ALAM 21 JUN : Parti Keadilan Rakyat Selangor dari segenap peringkat akan bersama-sama gerakan rakyat menuntut pilihan raya yang adil dan bersih dilaksanakan di negara ini walaupun bakal berhadapan dengan tindakan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Ketua Penerangan Keadilan Selangor, Shuhaimi Shafie berkata, pihaknya tidak gentar berhadapan dengan ugutan polis mahu menahan sesiapa sahaja yang menyertai himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini, sebaliknya menegaskan perhimpunan itu begitu penting bagi membina sebuah negara yang dihormati dunia.

"PDRM sewajarnya mengambil inisiatif untuk menjaga keselamatan rakyat pada 9 Julai ini dan bukan dengan tindakan provokasi menyembur gas pemedih mata pada rakyat yang berhimpun aman! Jika ugutan ini diteruskan dengan tindakan, Keadilan Selangor percaya kebanyakan rakyat sudah bersedia menghuni penjara. Waktu itu api semangat jihad menegakkan keadilan, tidak akan dapat di padam lagi hatta dengan ratusan 'water cannon' di depan mata!,"katanya.

Malah beliau turut membidas sikap berat sebelah polis yang cenderung mengikut telunjuk pemerintah sekaligus menafikan hak rakyat untuk bersuara.

" Peliknya, pihak yang mengedarkan video lucah dibiarkan bebas lepas, manakala yang berjuang demi hak rakyat diancam untuk ditangkap,"katanya lagi.

Kejayaan Bersih pada 10 November 2007 menjadi pemangkin kepada usaha Jawatankuasa Bertindak untuk melancarkan Bersih 2.0 yang membuat tuntutan kepada penambahbaikan juga pemulihan sistem pilihan raya Malaysia yang nyata kotor dan dimanipulasi oleh parti pemerintah.

Antara lapan perkara tuntutan Bersih 2.0 adalah semakan semula daftar pemilih, penggunaan dakwat kekal, pemansuhan sistem pengundian pos dan akses media yang adil kepada semua parti bertanding.

Dalam pada itu, Shuhaimi turut mempersoalkan tindakan polis yang mengugut dan mahu memperlakukan rakyat seperti pesalah sedangkan tugas sebenar polis adalah menjaga keselamatan dan memastikan perhimpunan aman itu tidak dicemari anasir-anasir provokasi pihak lain.

"Di manakah maruah PDRM sebagai penguatkuasa undang-undang yang sewajibnya memahami hak rakyat untuk berhimpun? Arahan siapakah yang diikuti PDRM? Jika benar polis sebuah organisasi bebas, kenapa Ibrahim Ali dibiarkan sewenang wenangnya?

Selain Bersih 2.0, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Pemuda Umno juga dijadual mengadakan perhimpunan pada tarikh yang sama.


No comments:

Blog Archive

My Blog List

Followers