Anwar Gesa Negara Timur Tengah Laksana Perubahan Politik




KUWAIT CITY 7 JUN : Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa negara Timur Tengah untuk melakukan perubahan politik ke arah lebih telus dan terbuka dalam pentadbirannya bagi mengukuhkan lagi kedudukan negara itu dan mengelakkan krisis tercetus berikutan ketidakpuasan hati rakyat.

Menurut Anwar, kerajaan perlu memberi komitmen terhadap perubahan mereka untuk membetulkan pentadbiran dan menguatkan prinsip demokrasi selain penghapusan amalan-amalan korupsi dalam pentadbiran.

"Kita tahu arus perubahan politik ada pasang dan surutnya bergantung kepada kekuatan atau kelemahan komitmen terhadap demokrasi dan kebebasan.
"Seperti yang pernah saya katakan, jika mahu perubahan ini bermakna, ia mesti menguatkan demokrasi dan bukan melemahkannya, memperbaiki pentadbiran dan tidak memberi muka kepada korupsi dan kronisme. Komitmen jelas untuk memastikan keadilan sosio-ekonomi dan pengagihan kekeyaan yang saksama akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi," kata Anwar dalam Ucaptama Persidangan mengenai Kewangan Islam dalam Membiayai Pembangunan di sini hari ini.

Keadaan Timur Tengah dilihat bergolak lantaran pemberontakan rakyat terhadap kepimpinan yang dianggap mereka menekan hak rakyat seperti di Tunisia, Mesir, Libya dan beberapa negara lain sejak akhir tahun lalu.

Bagaimanapun beberapa negara teluk lain telah mula mengorak langkah supaya lebih telus dan adil dalam pentadbiran mereka.

"Pengajaran Tunisia dan Mesir mengingatkan kita bahawa kelangsungan masyarakat demokratik, kuasa dan autoriti mesti berpaksikan kedaulatan undang-undang. Keterbukaan dan ketelusan mesti dipromosikan oleh pentadbiran negara," tegas Anwar.

Anwar turut menyeru agar kerajaan tidak perlu risau untuk berubah kerana proses demokrasi langsung tidak menghalang kepada pembangunan ekonomi sebaliknya akan meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi negara itu dan serantau.

"Hanya satu perkara yang boleh mengatasi hal ini iaitu perniagaan mesti berteraskan budaya pentadbiran korporat yang bernilaikan ketelusan dan amalan beretika. Perlu ada semangat politik untuk menentang korupsi dan menghalang konglomerat berniat jahat yang bersekongkol dengan pihak autokrat untuk merogol tanah dan memusnahkan alam sekitar. Kita lihat hal ini berlaku di Timur Tengah dan Asia Tenggara, " kata beliau

No comments: