Potongan Subsidi - Kerajaan tiada hak tegur rakyat, kata PKR








Kerajaan Umno-BN tidak harus mempersalahkan rakyat yang membantah pemotongan subsidi barangan keperluan kerana langkah itu amat membebankan mereka, kata Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.

Beliau berkata selagi kerajaan Umno-BN terus memberi subsidi kepada syarikat kroni dalam jumlah yang jauh mengatasi apa yang diperuntukan untuk rakyat, selagi itu rasa tidak puas hati awam akan berkekalan.

"Rakyat sudah lama menjadi mangsa kerajaan UMNO-BN ini. Subsidi gas yang pemerintah perkenalkan itu telah lama digunakan pakai iaitu sekitar tahun 96-97 tetapi kini dikurangkan. Rakyat terpaksa menanggung beban dan pada masa sama terpaksa melihat wang negara berpuluh billion tiap-tiap tahun masuk ke poket kroni," kata beliau kepada TvSelangor.

Kerajaan Umno-BN hanya memperuntukan subsidi untuk barangan keperluan rakyat sebanyak RM4 Billion manakala subsidi untuk pengeluar tenaga bebas (IPP) adalah RM19 Billion.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussein semalam mengesa rakyat bersama kerajaan dalam usaha mengurangkan subsidi untuk mengimbangi defisit negara.

Seperti masa-masa lalu, beliau berjanji kerajaan akan mencari jalan supaya pemotongan subsidi "tidak membebankan rakyat".

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam memberi amaran bahawa harga barangan keperluan akan melonjak naik 30 peratus akhir tahun ini berbanding lima tahun lalu, jika pemotongan subsidi terus berkekalan pada tahap sekarang.

Paras harga barangan keperluan sekarang adalah yang tertinggi sejak tahun 2008.

Harga tepung, gula dan minyak sudah pun mengalami kenaikan yang semakin menghimpit sara hidup rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Rafizi menjelaskan "nasihat-nasihat" UMNO-BN, mahukan rakyat mengamalkan cara hidup berhemah jelas menyerlahkan sifat hipokritnya.

"Kerajaan engesa rakyat mengubah cara hidup dengan hidup berjimat, kurangkan pengambilan gula dan minyak sedangkan kerajaan tidak laksanakan apa-apa langkah untuk mengurangkan perbelanjaan negara meskipun dalam soal membanteras rasuah."

Rafizi berkata kerajaan tidak seharusnya terus menerus menjadikan rakyat sebagai mangsa bahana dari kepincangan pemerintahan korup mereka.

"Pakatan Rakyat berpendirian bahawa kerajaan Malaysia mampu untuk menampung harga minyak tanpa menaikan harga minyak sekiranya kerajaan mengawal ketirisan dan amalan rasuah," kata beliau.

"Amalan rasuah ini yang jelas banyak telan wang rakyat, kalau rasuah ini dapat dibanteras, wang ini boleh digunakan untuk menampung dan mengekalkan harga minyak, malah pada paras yang lebih rendah." tambah beliau.

No comments: