Fitnah Pemimpin Umno Hanya Membuka Pekong Diri





PETALING JAYA 21 MEI : Tindakan pemimpin Umno melancarkan serangan peribadi lagi mengaibkan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim secara bertubi-tubi hanya mendedahkan perwatakan “jelek” diri mereka, kata Ketua Pembangkang itu.

“Pemimpin yang memilih untuk menjurus ke arah taktik lucah pornografi, dan mengaibkan orang, itu sudah semestinya orang yang terdesak. Apa lagi moral orang itu sendiri dipertikai,” kata Anwar.

“Kalau orang itu moralnya baik, (ini tidak akan berlaku.) Belum pernah kita dengar orang seperti ulama, sanggup dan mampu untuk mengaibkan orang. Orang yang selalu mengaibkan orang itu adalah mereka yang peribadinya jelek,” kata Anwar.

Pemimpin-pemimpin Umno termasuk Perdana Menteri Najib Razak menjadikan isu video lucah Datuk T sebagai modal politik di ceramah-ceramah termasuk semasa pilihanraya negeri Sarawak bulan lalu.

Datuk T merangkumi Ahli Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, bekas Bendahari Perkasa Shuib Lazim dan ahli perniagaan Sharzyl Eskay yang mempunyai kaitan rapat dengan pimpinan Umno. Mereka mendakwa Anwar adalah pelaku dalam video itu.

Anwar yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan tuduhan itu dan membuat laporan polis untuk membolehkan siasatan dijalankan terhadap Datuk T.

Pada masa sama beliau juga mahukan undang-undang Qazaf digunapakai untuk menangani fitnah yang dibawa oleh Rahim yang juga Pengerusi Felda dan dua rakannya itu.

Selain mencanang video itu di ceramah-ceramah untuk mengaibkan Anwar, Umno juga menggunakan taktik-taktik lain termasuk mengitar semula Umni Hafilda untuk melemparkan tuduhan-tuduhan kesat terhadap Anwar.

Anwar menghabiskan enam tahun dipenjara atas tuduhan liwat yang kemudiannya ditolak oleh Mahkamah Persekutuan sebagai tidak berasas kerana bersandarkan bukti rapuh dan keterangan yang palsu.

Kini mantan Timbalan Perdana Menteri itu sekali lagi menghadapi pertuduhan liwat selepas pengadunya Saiful Bukhari Azlan menemui Perdana Menteri Najib Razak secara sulit sebelum membuat dakwaan-dakwaan yang mencurigakan.

Dalam wawancara dengan TvSelangor, Anwar percaya sesebuah kerajaan yang telus dan adil tidak perlu menggunakan taktik-taktik jijik untuk menumpaskan pembangkang.

Sekatan dan serangan menggunakan taktik kotor dan lucah yang diamalkan oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional menunjukkan sebuah sistem pemerintahan yang rosak, pincang dan terdesak, kata beliau.

“Apabila sistem pemerintahan itu zalim atau mengkongkong, maka tindakan akan diambil untuk menyekat kebebasan. Jika sistem itu baik, harga barang tidak meningkat, kehidupan rakyat terbela maka pemerintah tidak akan gentar. Datanglah idealogi apa sekalipun, dia(pemerintah) mampu jawab,” kata Anwar.

“Tetapi bila kerosakan terlalu banyak, maka dia terpaksa reka-reka fitnah untuk tutup kelemahan,” Tambah beliau.

Sejarah, menurut Anwar, penuh dengan contoh-contoh diktator yang menjerut hak rakyat demi melebarkan jangka hayat politik mereka.

Anwar yakin pemerintahan yang menindas rakyat akan mempunyai kesudahan yang sama, tidak kira sama ada di Malaysia atau di negara lain.

“Tengok masa Hitler di German. Starlin di Rusia, Mubarak di Mesir. Tengok cara dia menekan dan menyekat pembangkang, ulama dan golongan pengkritik. Itu paternnya agak sama. Cara penyekatan dia sama. Saya yakin kerana setelah lebih setengah abad merdeka, rakyat negara ini tidak boleh dan tidak mudah diperbodohkan,” katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh mengingatkan Barisan Nasional supaya tidak terlampau leka dengan menganggap rakyat akan sentiasa mempercayai segala pembohongan dan fitnah yang disajikan menerusi media arus perdana.

“ Umno, Utusan atau Tv3 anggap orang Melayu bodoh. Tetapi orang Melayu ini mempunyai budaya besar. Bila orang sebut pasal budaya Melayu selalunya ia berakar kepada agama,” kata Anwar.


No comments: