Wartawan Ditahan Polis Selepas Sidang Media



KUALA LUMPUR 10 APRIL : Tiga wakil media ditahan polis sewaktu membuat liputan di KL Sentral hari ini termasuk Jurukamera TV Selangor.

Mereka menghadiri sidang media program Jelajah Mahasiswa Salamatkan Rakyat anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) sebelum ditahan polis atas alasan menyertai perhimpunan haram.

Menurut sumber 11 orang ditahan kira-kira jam 10.30 pagi sejurus tamat sidang media program jelajah berkenaan yang disertai kira-kira 40 aktivis Mahasiswa.

Turut ditahan ialah wartawan dan jurukamera laman keadilandaily.com serta lapan aktivis SMM.

Jurukamera TV Selangor Naim Abu Bakar yang ditahan menyatakan dalam perbualan ringkas 'beliau ditahan oleh sekumpulan polis berpakaian preman dan dibantu polis bantuan KL Sentral.'

"Saya sedang duduk selepas habis (sidang media) tiba-tiba kena tangkap. Saya tunjuk Pas Media tapi tetap ditahan," kata beliau.

Mereka dibawa ke Balai Polis Jalan Travers Kuala Lumpur untuk direkodkan kenyataan kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Selepas memberi keterangan, mereka dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira sejam kemudian.

No comments: