Rasuah- Musuh Utama Rakyat Sarawak, Kata Tian Chua




SHAH ALAM 14 APRIL : Dua hari sebelum rakyat Sarawak keluar mengundi, Perdana Menteri Najib Razak berjanji peruntukan untuk Sarawak akan dipertingkatkan sekiranya Barisan Nasional diberikan mandat untuk terus memerintah negeri ini.

Dalam reaksi spontan, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Tian Chua berkata, yang dipertikaikan ialah kenapa sebilangan besar rakyat Sarawak tetap dibelenggui kemiskinan dan tanpa prasarana asas, meskipun negeri itu dijanjikan peruntukan berbiliion ringgit setiap tahun.

Dalam ucapannya malam tadi, Najib mendakwa Putrajaya memperuntukkan RM5.7 bilion untuk masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak di bawah program transformasi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

“Kita untuk NKRA prasarana luar bandar, bekalan air, api, baik pulih rumah,RM5.7 bilion kerajaan pusat lulus untuk Sarawak,” kata Perdana Menteri di program khidmat masyarakat 1Malaysia di Satok malam tadi.

Namun peruntukan itu dipersoalkan oleh Pakatan Rakyat dengan merujuk kepada kemiskinan tegar yang masih mencengkam sebahagian besar daripada pendalaman Sarawak.

" Kalau Najib betul-betul telah melulusan peruntukan itu , rakyat lagi marah, dan mahu tahu ke mana pergi dana itu dan juga peruntukan-peruntukan sebelum ini. Kenapa sehingga kini masih ramai masyarakat Iban, Bidayuh, Melanau, Dayak dan sebagainya terus miskin?, kata Tian kepada TVSelangor.

“Ini yang menjadi persoalannya sekarang, Kita mahu tahu punca rakyat Sarawak terus miskin, jika benar Putrajaya menyalurkan begitu banyak wang kepada kerajaan negeri Sarawak,” tambah beliau.

Najib semalam mendakwa Barisan Nasional jauh lebih mampu daripada Pakatan Rakyat untuk menyalurkan bantuan kepada Sarawak dan merujuk kepada program-program yang diperkenalkan beliau.

Namun hakikat adalah Sarawak negeri keempat paling miskin di Malaysia meskipun mempunyai hasil minyak, balak dan sumber semulajadi yang lain.

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang memerintah Sarawak untuk 30 tahun dibelit dengan dakwaan rasuah dan penyelewengan kuasa. Keluarga beliau dituduh memiliki harta benda bernilai berbilion ringgit di dalam dan luar negara.

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menjanjikan RM 1 billion untuk kemudahan awam seperti jalan, air dan bekalan elektrik di kawasan luar bandar jika Pakatan Rakyat diberi mandat menubuhkan kerajaan negeri.

Guan Eng juga berkata kerajaan negeri Pakatan Rakyat juga akan menuntut kerajaan Persekutuan menaikkan royalti minyak daripada lima peratus kepada 20 peratus untuk menampung dana itu.

Tian berkata Pulau Pinang dan Selangor menjadi contoh jelas keupayaan Pakatan Rakyat membela penduduk dengan mengekang rasuah dan menjalankan urus tadbir telus.

"Rakyat Sarawak patut tanya kemana pergi dana yang diperuntukan oleh kerajaan pusat itu, kalau dana telah diperuntukan, tetapi orang Dayak masih miskin ia jelas amalan rasuah yang teruk.

"Orang Dayak yang hidup dalam pendalaman masih menanti-nanti, dari mana, bagaimana, dan kemana dana ini pergi dan kenapa mereka sehingga hari ini tidak dapat apa-apa faedah dari peruntukan yang dijanjikan Barisan Nasional" tambah Tian.

No comments: