Kebangkitan Rakyat: Harapan untuk Demokrasi di Timur Tengah?

Kebangkitan rakyat di Mesir untuk menggulingkan Presiden Hosni Mubarak menjadi tumpuan dunia terkini. Sesungguhnya, tidak kurang pemerhati politik yang membandingkan pergolakan di dunia Timur Tengah dengan konteks politik di Malaysia - dari cara hidup keluarga Presiden hinggalah jurang ekonomi dalam masyarakat yang menjadi faktor tercetusnya kebangkitan rakyat.

MerdekaReview bersama Free Public Forum dan Pemuda Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor mengambil inisiatif untuk menganjurkan forum berjudul "Kebangkitan Rakyat: Harapan untuk Demokrasi di Timur Tengah?" pada jam 8 malam, 22 Februari (Selasa), di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor. Forum ini bakal membariskan panelis Nora Murad (Amnesty International Malaysia-AIM), Liew Chin Tong (Ahli parlimen Bukit Bendera), Mujahid Yusuf Rawa (Ahli parlimen Parit Buntar, Penulis buku "Menuju PAS Baru") dan Hishamuddin Rais (Aktivis/pengkritik sosial, penulis bebas), dengan Fahmi Fadzil sebagai moderatornya.

Kemasukan adalah percuma. Sila datang beramai-ramai.

Sinopsis Forum

Gelombang kebangkitan rakyat Mesir yang sedang berlaku amat menggemparkan seluruh dunia. Rejim kediktatoran Hosni Mubarak berakhir dengan pengunduran beliau dari kerusi Presiden Mesir dan telah menjadi simbol kemenangan kuasa rakyat dalam usaha menjatuhkan kezaliman rejim yang menindas rakyat sepanjang 30 tahun pemerintahan beliau.

Sumber: Reuters

Antara perkara yang perlu diteliti, kebangkitan rakyat marhaen di Tunisia, Yaman dan Jordan menjadi antara faktor besar berlakunya kebangkitan rakyat Mesir. Bahkan di saat ini, kebangkitan rakyat ini telahpun berjangkit sehingga terkini di Iran dan Bahrain dan mendapat perhatian seluruh dunia.

Namun, apakah kesudahan bagi kebangkitan gerakan ini? Apakah pengunduran Mubarak sekadar akan berakhir dengan penggantian satu lagi rejim kediktatoran yang baru?

Apakah keadaan yang berlaku ini akan menjanjikan lembaran baru kepada demokrasi yang lebih sihat serta memberi ruang kepada seluruh warga tanah air di Mesir dan Timur Tengah umumnya dalam menyuarakan pandangan serta melibatkan diri terhadap proses pembuatan polisi yang akan lebih bersifat menguntungkan rakyat?

Adakah kuasa-kuasa dari blok barat khususnya AS sebagai kuasa besar politik dunia akan sekadar berdiam diri tanpa sebarang campur tangan lebih-lebih lagi bagi memastikan kepentinngan mereka terpelihara?

Di mana dan bagaimanakah pula kedudukan kumpulan-kumpulan Islam yang amat signifikan terhadap persoalan pertembungan antara blok-blok ideologi termasuklah berkaitan pembebasan tanah air dari cengkaman pemerintahan diktator-sekular negara-negara Timur Tengah?

Diskusi bersama:
1. Nora Murad (Amnesty International Malaysia-AIM)
2. Liew Chin Tong (Ahli parlimen Bukit Bendera, Research for Social Advancement-REFSA)
3. Mujahid Yusuf Rawa (Ahli parlimen Parit Buntar, Penulis buku "Menuju PAS Baru")
4. Hishamuddin Rais (Aktivis/pengkritik sosial, penulis bebas)

Anjuran bersama: MerdekaReview, Free Public Forum Malaysia (FPF), Pemuda Dewan Perhimpunan KL-Selangor.

No comments: