Anwar Ibrahim di Mentakab, Kerdau Ahad ini

TEMERLOH, 16 Feb: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri majlis jamuan makan malam dan berceramah di sini 20 Februari.

Menurut Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pahang Ahmad Nizam Hamid jamuan makan malam bagi mengutip dana pilihan raya itu akan diadakan di Dewan Taman Rimba, Mentakab bermula jam 7.30 malam.

“Selain Anwar pimpinan lain yang dijangka hadir ialah (Menteri Besar Selangor) Tan Sri Khalid Ibrahim, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Tian Chua, Datuk Chua Jui Meng dan Leong Ngah Ngah.

“Bagi tujuan mengumpul dana PKR menyediakan kupon-kupon berharga RM40 dan meja-meja VVIP yang berharga RM2,000 dan RM1,000,” katanya kepada media di pejabatnya.

Ahmad Nizam yang juga Ketua Cabang PKR Temerloh berkata, selepas majlis tersebut Anwar dan semua pimpinan dijadualkan berceramah di tapak kompleks PAS Pahang, Kerdau.

“Di Kerdau Anwar dan yang lain akan memberi taklimat isu semasa dan pilihan raya. Walau bagaimanapun program ini tidak ada kena mengena dengan kempen awal untuk pilihan raya kecil (PRK) Kerdau kerana telah dirancang sejak Januari lalu,” tegasnya.

Mengenai PRK Kerdau, Ahmad Nizam berjanji PKR Pahang akan memberikan komitmen 100 peratus dengan mengerahkan seluruh kekuatan bagi mempastikan kemenangan calon PAS.

No comments: