7 NAMA SENARAI DUN KERDAU

http://buletinonline.net/images/stories/berita41/Roslan%20Zainalq.jpg

PAS Pahang telah menyenaraikan tujuh nama untuk dicalonkan bagi bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kerdau.


Mereka yang disenaraikan itu adalah anak tempatan berkelulusan dalam pelbagai bidang, antaranya bekas pensyarah, aktivis dan anggota biasa parti.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Pahang, Roslan Zainal (gambar) berkata mereka yang tersenarai itu dilihat berpotensi untuk menang, selain muda dan berkarisma untuk menjadi calon dan wakil rakyat di kawasan berkenaan.

"Nama-nama berkenaan telah diputuskan pada mesyuarat khas PAS Kawasan Kerdau pada Isnin lepas, senarai itu akan dihantar kepada pucuk pimpinan parti," katanya kepada Bernama di sini, Rabu.

Beliau berkata, PAS tidak mempunyai masalah dalam memilih calon kerana ramai yang berkelayakan dan berkelulusan tinggi.

"Berdasarkan perkembangan politik semasa serta penambahan pengundi baru, PAS yakin akan dapat memenangi pilihan raya kecil itu nanti sekalipun kerusi DUN Kerdau merupakan kawasan kubu kuat Barisan Nasional (BN)," katanya.

Kerusi DUN kawasan Kerdau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 63 akibat serangan jantung pada Sabtu lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagaimanapun masih belum memutuskan tarikh pilihan raya kecil di kawasan berkenaan.

Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi.

No comments: