PKR mahu bukti timbang memo calon timbalan presiden batal pemilihan

SETELAH MEMBIARKAN PARTI LAWAN MEMBELASAH AKHIRNYA JPP SETUJU UNTUK MELAKUKAN PENYIASATAN



November 11, 2010

KUALA LUMPUR, 11 Nov — Biro Politik PKR yang mengadakan mesyuarat khas malam tadi untuk membincangkan memorandum kata dua calon timbalan presiden berhubung pemilihan pusat tidak membuat keputusan muktamad atas alasan memerlukan bukti kukuh dan keterangan susulan.

The Malaysian Insider difahamkan mesyuarat itu yang dipengerusikan oleh Presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berlangsung kira-kira dua jam, memutuskan untuk mendapatkan lebih banyak maklumat daripada pengadu.

Memorandum itu diserahkan oleh Naib Presiden Mustaffa Kamil Ayub — salah seorang calon timbalan presiden — kepada presiden dan pengerusi jawatankuasa pemilihan pusat Dr Molly Cheah petang kelmarin.

Memorandum itu menggesa parti mengambil tindakan segera dalam 48 jam — tempoh yang akan berakhir petang ini.

Ia menggesa agar proses pemilihan dibatalkan dan digantikan dengan pengundian baru walaupun 87 cabang sudah selesai mengadakan pengundian sepanjang lima hari pertama, sehingga Ahad lalu.

Sehari sebelum itu seorang lagi calon timbalan presiden Datuk Zaid Ibrahim memutuskan untuk menarik diri daripada bertanding atas alasan wujud banyak kepincangan dan kecacatan dalam proses pemilihan.

Malah Zaid juga melepaskan semua jawatan dalam parti dan menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seorang lagi calon timbalan presiden Azmin Ali keluar parti.

Biro Politik mengadakan mesyuarat mingguan malam tadi tetapi calon-calon yang bertanding pada pemilihan kali ini termasuk Mustaffa sendiri tidak hadir.

Ia hanya dihadiri oleh mereka yang tidak bertanding manakala Dr Wan Azizah sudah menang tanpa cabaran.

Mustaffa dijangka menemui presiden dan pengerusi jawatankuasa pemilihan pusat petang ini.

“Saya sedang berusaha untuk menemui mereka. Saya akan mengumumkan pendirian susulan saya selepas pertemuan dengan mereka, mungkin petang ini atau pagi esok,” kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Seorang anggota Biro Politik memberitahu The Malaysian Insider bahawa memorandum yang dikemukakan kelmarin tidak mengandungi bukti yang spesifik untuk memperkukuhkan dakwaan.

“Memorandum beliau tidak menyediakan sebarang bukti. Ia satu memorandum umum,” kata anggota berkenaan yang enggan dikenali.

Dr Cheah, kata sumber, membentangkan laporan beliau kepada angggota-anggota biro itu.

“Dr Molly Cheah akan melihat soal memandangkan kami memerlukan lebih banyak bukti.

“Kami tidak boleh bertindak hanya berdasarkan pada memorandum,” kata sumber itu.

Sebagai contoh kata sumber itu, berhubung dakwaan politik wang memorandum itu tidak menyenaraikan bahagian-bahagian yang terlibat.

Oleh itu kata beliau, mesyuarat semalam tidak membincangkan keperluan mengadakan pemilihan baru.

“Melainkan Mustaffa datang dengan bukti dan jawatankuasa pemilihan pusat mungkin akan mempertimbangkan,” katanya lagi.

Dr Cheah juga mengesahkan akan bertemu dengan Mustaffa hari ini tetapi enggan mengulas lanjut.

“Saya tidak akan mengatakan apa-apa sehingga selepas saya menemui beliau,” kata Dr Cheah.

MENYUSUL LAGI

No comments: