Pemilihan PKR: Fauzi sedia jadi orang tengah, harap tiada pihak persoal pendiriannya

Pemilihan PKR: Fauzi sedia jadi orang tengah, harap tiada pihak persoal pendiriannya

November 11, 2010
KUALA LUMPUR, 11 Nov — Pengerusi PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman menyatakan kesediaan menjadi “orang tengah” bagi mencari penyelesaian ekoran kontroversi kesahihan pemilihan parti tetapi berharap tiada mana-mana pihak mempertikaikan pendirian beliau dalam isu itu.

Bekas timbalan menteri ini berkata beliau sanggup membantu sesiapa sahaja demi memperkuatkan parti itu termasuk bekerjasama dengan calon ketua sayap pemuda PKR Badrul Hisham Shaharin.

Malah menurut Fauzi, beliau sedia bekerjasama dengan Badrul Hisham sambil menegaskan akan bersikap adil kepada parti.

“Pada dasarnya, apa-apa yang baik untuk parti saya sedia beri kerjasama.

“Ini tidak bermaksud saya sokong Dollah ataupun Kassim, bagi saya kalau jadi orang tengah tidak apa-apa kerana yang penting adalah untuk selamatkan parti.

“Sebab itu saya sanggup bekerjasama supaya parti tiada masalah,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Awal pagi ini The Malaysian Insider melaporkan, Badrul Hisham dalam pertemuan yang dinamakan sebagai “Himpunan Anak Muda Selamatkan Keadilan” melantik Fauzi sebagai “orang tengah” untuk membawa resolusi tersebut kepada pucuk kepimpinan.

Pertemuan yang disertai sekitar 200 ahli AMK, penyokong Badrul Hisham, malam tadi meluluskan enam resolusi - antaranya dipercayai mendesak parti menangguhkan dan mengadakan semula pemilihan sebagai langkah keluar daripada isu semasa yang beliau sifatkan sebagai “krisis”.

The Malaysian Insider difahamkan resolusi itu antara lain menggariskan siri tindakan untuk diambil setiap hari sekiranya permintaan menangguhkan pemilihan dan memperbaiki segala kelemahan dalam proses tidak diatasi.

Keputusan itu diambil ketika tinggal satu hari lagi sebelum hari keenam pengudian pemilihan pusat PKR — di bawah sistem pemilihan secara langsung — dilangsungkan.

“Datuk Fauzi sebagai pemimpin yang disegani dalam parti dan tidak terlibat dalam pemilihan, dilantik sebagai perutusan kami untuk membawa resolusi ini ke perhatian kepimpinan parti, dan mencari penyelesaian demi kelangsungan parti dan memenuhi harapan rakyat,” kata Badrul Hisham yang juga Ketua PKR Rembau.

Tambah Fauzi, beliau sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan akan membuat keputusan apabila menerima resolusi tersebut.

“Saya sudah tahu mengenai perkara itu dan mereka minta saya untuk sampaikan rintihan mereka kepada pucuk pimpinan parti.

“Saya terima tapi kena tengok dulu resolusi itu. Saya belum lagi terima resolusi itu, saya difahamkan akan terima hari ini,” katanya.

Fauzi dimaklumkan secara rasmi keputusan pagi ini.

Justeru, Fauzi berharap tiada pihak yang akan mempertikaikan pendiriannya dalam PKR apabila menerima pelawaan Badrul Hisham.

“Pendirian saya sekarang adalah untuk sokong PKR, untuk kuatkan PKR dan saya sokong mana-mana pihak yang boleh memperkuatkan parti.

“Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah kuatkan parti, itu sahaja,” tegasnya.

Jawatan ketua AMK disaingi penyandang Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Badrul Hisham.

Saingan jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan masih didahului Shamsul Iskandar dengan 1,455 undi manakala Badrul Hisham mengekori rapat dengan 1,428 undi.

No comments: