Mahkamah Persekutuan tangguh permohonan semakan Anwar

Mahkamah Persekutuan tangguh permohonan semakan Anwar

PUTRAJAYA 26 Mei - Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan permohonan semakan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencabar keputusan panel terdahulu yang mengisytiharkan bahawa pemecatannya daripada semua jawatan Kabinet, 12 tahun lalu adalah sah di sisi undang-undang.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria akan menetapkan tarikh lain bagi mendengar permohonan itu sementara menunggu alasan penghakiman terhadap satu kes berbeza yang diputuskan pada 25 Februari lalu.

Keputusan tersebut merupakan yang terkini dicapai oleh mahkamah tertinggi negara berhubung permohonan semakan menggunakan Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Pada 25 Februari lalu, Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin yang mengetuai panel tiga hakim bersidang memutuskan Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa menyemak rayuan yang telah diputuskan.

Hakim Zulkefli menyatakan demikian ketika menolak rayuan akhir Anwar untuk mengakses semua dokumen penting pendakwaan serta spesimen asid deoksiribonukleik (DNA) milik Mohd. Saiful Bukhari Azlan dalam kes liwat Ketua Pembangkang itu.

Hakim Arifin bersidang bersama Hakim Datuk Seri James Foong Cheng Yuen dan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Suriyadi Halim Omar.

Hari ini, Anwar mencabar kesahihan kuasa Perdana Menteri di sisi perlembagaan bagi mendapat perisytiharan muktamad bahawa pemecatannya daripada semua jawatan dalam kerajaan, sebagai tidak sah dan terbatal.

Pada 8 Mac lalu, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff yang mengetuai sidang memutuskan pemecatannya daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dibuat berlandaskan perlembagaan.

Terdahulu, peguam Karpal Singh yang mewakili Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berhujah sama ada panel hari ini mempunyai bidang kuasa mendengar permohonan semakan tersebut.

Ini kerana, Hakim Zulkefli dalam keputusan ringkasnya menyatakan, Kaedah 137 tidak memperuntukkan bidang kuasa kepada mahkamah itu menyemak keputusan yang telah dipertimbang dan dimuktamadkan.

Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaludin Md. Said berhujah, tiada salahnya permohonan semakan itu diteruskan bagi menentukan sama ada permohonan itu menepati kehendak-kehendak yang melayakkan ia didengar oleh mahkamah.

Hakim Arifin kemudian mencelah, ada baiknya permohonan hari ini ditangguhkan sementara menunggu alasan penghakiman (Hakim Zulkefli) yang dijangka dikeluarkan dalam tempoh terdekat.

Menurut beliau, mereka perlu meneliti alasan penghakiman itu terlebih dahulu dan memutuskan sama ada bersetuju atau mengetepikannya.

Berhubung cadangan Karpal agar satu panel lima hakim mendengar permohonan itu, Hakim Arifin menyatakan, ia akan dipertimbangkan.

No comments: