POLIS RAKAM KENYATAAN

Seksyen 506 : Polis rakam kenyataan Exco Selangor
Monday, 28 December 2009 12:20 PM
Oleh Masdar Wahid


KUALA LUMPUR 28 Dis : Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kenyataannya yang didakwa cuba menakut-nakutkan polis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata, Yong dipanggil untuk dirakam percakapannya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kenyataannya dalam media yang mengarahkan polis menghentikan siasatan ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng adalah satu kesalahan dan seolah-olah cuba menakut-nakutkan pihak polis.

"Ingin saya tegaskan, Yang Berhormat jangan cuba menakut-nakutkan kita dengan memberi arahan supaya tidak meneruskan siasatan ke atas Guan Eng," katanya.

Akhbar tempatan berbahasa Inggeris sebelum ini melaporkan Hian Wah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Kembangan, mengarahkan polis untuk menghentikan siasatan ke atas Guan Eng yang akan disiasat mengikut Akta Hasutan kerana mengeluarkan kenyataan berkaitan Pembantu Exco Selangor, Teoh Beng Hock yang mati dibunuh.

Polis juga telah merakam keterangan daripada beberapa saksi yang mendengar dakwaan Setiausaha Agung DAP itu.

No comments: