Sokongan Wanita PKR Zon Utara Kepada YB Elizabeth Won




Wanita Parti KeADILan Rakyat zon Utara menyeru supaya YB Elizabeth Wong menarik balik tawaran beliau untuk meletak jawatan dan terus menjalankan tugas beliau sebagai EXCO Selangor dan Ahli DUN Bukit Lanjan. Pada masa yang sama, Wanita KeADILan zon Utara juga menyeru kepada kepimpinan Parti supaya memberi pertimbangan berdasarkan rekod perkhidmatan YB Elizabeth Wong yang cemerlang dan hak ahli politik diberi perlindungan dari segi kebebasan diri serta keperibadian. Pihak kepimpinan hendaklah berusaha sedaya upaya untuk memujuk beliau menarik balik surat perletakan jawatannya.



Wanita KeADILan zon Utara berpendapat YB Elizabeth Wong yang masih bujang mempunyai hak untuk bercinta dan hak untuk menikmati kehidupan peribadinya. Gambar beliau diambil semasa beliau berada di rumahnya sendiri, maka kelakuan YB Elizabeth Wong di rumah sendiri bukanlah sesuatu yang bersalah dari segi undang-undang atau bercanggahan dengan kepentingan awam. Jika kita meninjau dari sudut practicality dan keperikemanusiaan, YB Elizabeth Wong yang rajin menjalankan tugas beliau sebagai seorang EXCO dan wakil rakyat tidak bersalah dan tidak perlu meletak jawatan. Lebih-lebih lagi kalau kita melihat keputusan bancian yang dilakukan oleh ntv7 pada malam semalam, terdapat lebih kurang 94% penonton yang menyertai bancian tersebut menyokong cadangan supaya YB Elizabeth Wong tidak perlu meletak jawatan.




Jikalau YB Elizabeth Wong meletak jawatan, maka dalang yang melakukan perbuatan pencabulan itu akan menang dan maka lebih menyemarakkan semangat golongan yang suka menggunakan taktik politik kotor dan gejala penggunaan taktik politik kotor terus berleluasa. Dalam perkara ini, YB Dr Lo' Lo', Ahli Parlimen Titiwangsa telah menyatakan sokongan beliau terhadap YB Elizabeth Wong dan mengutuk pihak yang menyebarkan gambar-gambar YB Elizabeth Wong sebagai orang yang kelakuannya lebih teruk daripada seorang pelacur. Saya pula berpendapat orang yang merancangkan dan melakukan perbuatan keji itu lebih teruk daripada binatang.


Pada 5hb Feb 2009, semasa rampasan kuasa Negeri Perak berlaku, saya berpeluang berbual dengan YB Elizabeth Wong sambil menjamu selera di satu gerai makan tidak jauh dari kediaman rasmi Menteri Besar Perak. Pada masa itu, YB Elizabeth Wong mengatakan betapa kecewanya beliau dengan taktik gangster yang dipakai oleh pemimpim UMNO BN untuk merampas kuasa. Beliau juga secara terharunya mengatakan tidak tahu berapa lama beliau masih boleh memegang jawatan EXCO Negeri Selangor dan mungkin malam itu adalah makan malam yang terakhir bagi beliau sebagai EXCO Negeri Selangor.


Kata-kata beliau yang cuma berniat sebagai lawak kini telah menjadi kenyataan, dalam masa kurang daripada 2 minggu, YB Elizabeth Wong telah menjadi mangsa taktik politik kotor. Dari kes pembunuhan wanita Mongolia, tuduhan liwat terhadap Anwar Ibrahim, kehilangan penyiasat persendirian Bala dan keluarganya, penyalahgunaan ISA oleh polis terhadap pemberita, EXCO Selangor YB Teresa Kok dan blogger MalaysiaToday Raja Petra, perampasan kuasa Negeri Perak, kes ugut atau cubaan untuk "membeli" ADUN Kedah sehinggalah kes terbaru iaitu insiden sebaran gambar peribadi YB Elizabeth Wong, rakyat berpeluang menjadi saksi kepada perbuatan UNMO BN yang mencabuli perlembagaan Negara dan Negeri serta mencabar kuasa rakyat untuk memilih wakil rakyat.


Ini membuktikan sikap Najib yang masih enggan menerima ajaran dan mesej yang disampakan oleh rakyat kepada mereka semasa PRU 12 8hb Mac yang lepas, Pilihanraya kecil Permatang Pauh dan Kuala Terengganu. Mereka mengabaikan masalah ekonomi negara yang semakin genting dan masalah kehidupan rakyat yang semakin merosot. Beliau masih menggunakan taktik politik kotor sebelum beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia. Ini juga membuktikan kini UMNO BN telah sampai penghujung hayatnya kerana mereka kebankrapan "modal" atau agenda politik yang berlandaskan agenda rakyat.



Sebagai kesimpulannya, Wanita KeADILan menyeru rakyat Malaysia bersatu untuk memberi sokongan padu kepada YB Elizabeth Wong dan menggesa pihak polis terus membuat tindakan cekap dan pantas dalam membuat siasatan rapi, menangkap dan terus mengheret dalang yang bertanggungjawab itu ke muka pengadilan. Marilah kita sama-sama menolak amalan atau budaya politik kotor yang menghalang proses pembaharuan politik di Malaysia. Dr. Joyce LeeTimbalan Ketua Wanita KeADILan Negeri Pulau Pinang

No comments: