PAS dan PKR kecam tindakan rampas Harakah dan Suara Keadilan




Wed Feb 11, 09 12:23:55

KUALA LUMPUR, 11 Feb - PAS mengecam tindakan merampas akhbar Harakah dan Suara Keadilan di seluruh negara khususnya melibatkan Perak, Kedah dan Selangor.


Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar menyifatkan tindakan tersebut sebagai pencabulan ke atas prinsip demokrasi.

"Kita yakin tindakan itu diambil ekoran daripada laporan krisis yang berlaku di Perak.

"Tindakan tersebut telah menyekat kebebasan media dan menghina rakyat kerana hak mereka untuk mendapatkan maklumat yang tepat telah dinafikan," tegas beliau.



Mahfuz juga kesal kerana dalam masa yang sama media arus perdana terus menerus dibenarkan melaporkan berita-berita yang telah diputar-belitkan semata-mata untuk mengaburi mata rakyat.


Media arus perdana kata beliau, mengambarkan Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin sebagai penderhaka tetapi ketika krisis pelantikan Menteri Besar di Terengganu dan Perlis, pemimpin Umno yang menolak cadangan Sultan tidak digambarkan sedemikian.


"Bila ia melibatkan pemimpin Pakatan Rakyat, media arus perdana akan memberi gambaran yang buruk sedangkan pemimpin Umno ada yang bertindak lebih teruk dari itu," jelas Mahfuz.
Beliau merujuk tindakan Tan Sri Annuar Musa yang menabalkan Sultan Kelantan yang baru pada tahun 1993 kerana Sultan Kelantan yang sedia ada, Sultan Ismail Petra tidak sehaluan dengan pemimpin Umno Kelantan.

"Kalau nak dikirakan menderhaka tindakan Annuar Musa ini lebih derhaka berbanding yang Nizar," tegas beliau.



Sehubungan dengan itu, beliau mendesak agar arahan segera dikeluarkan agar perbuatan merampas Harakah dan Suara Keadilan serta akhbar
yang lain dihentikan.
Sementara itu , Tian Chua menjelaskan bahawa rampasan itu setelah berlakunya kekalahan Bn dalam pilihanraya kecil di Kuala Terengganu dan sejak itu akhbar Suara keadilan di rampas, termasuk edisi kekecohan kerajaan Perak.Sehingga kini hampir 20,000 naskah dirampas di seluruh negara.
"Ianya seolah-olah kembali di zaman Mahathir" demikian jelas Tian Chua di Kuala Lumpur jam 11 pagi tadi.
Edaran Suara Keadilan menurut Tian Chua, semenjak pilihanraya ke 12, Mac lepas, telah mencecah 150,000 naskah seminggu dan tidak pernah menghadapi sebarang masalah sebelum ini.
Walaubagaimanpun pada keluaran minggu ini, Suara Keadilan telah dirampas kira-kira 20,000 naskah. Menurut Penolong Pengurus Bahagian Pengedaran Akhbar Suara Keadilan, Marina Awanti Nordin, rampasan terbesar telah dilakukan di Seberang Perai dan Melaka.

Selain itu beberapa pengedar Suara Keadilan di sembilan lokasi telah menerima surat amaran daripada daripada Unit Penguatkuasa Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-quran Kementerian Dalam Negeri.

Surat berkenaan tertulis bahawa akhbar ini telah melanggar syarat-syarat permit penerbitan yang dikehendaki mengikut Kaedah-Kaedah mesin citak dan penerbitan (lesen dan permit) 1984.
Kandungan surat berkenaan juga mengingatkan para penjual tidak menjual akhbar berkenaan ataupun diambil tindakan.

Tian Chua menambah, dalam awal bulan ini, rampasan Suara Keadilan diibaratkan sebagai satu tindakan yang diambil dalan satu operasi yang tersusun.
“Selepas pilihanraya, kami tidak pernah menghadapi satu operasi yang besar, namun pada bulan lepas, kita telah menghadapi satu tindakan yang begitu sistematik yang berlaku di semua peringkat,” katanya kepada wartawan.

Katanya lagi, KeADILan mengutuk sekeras-kerasnya rampasan Suara Keadilan, dan menurut Tian, tindakan ini adalah menyekat edaran maklumat bebas di pasaran.
“Bagi pihak parti, saya mengutuk sekeras-keranya tindakan yang diambil dalam edaran maklumat bebas di pasaran,” kata Tian pagi ini.

No comments: