Skandal PKFZ: Anwar dakwa Ling, Chan 'salahguna' kuasa

Muda Mohd Noor | Dec 19, 07 5:20pm

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa bahawa bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik dan Menteri Pengangkutan sekarang, Datuk Seri Chan Kong Choy telah mengeluarkan surat sokongan sehingga menyebabkan kerajaan terpaksa menyelamatkan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).

Katanya, Ling menulis surat sokongan itu pada 28 Mei 2003 – pada hari dia meletak jawatan – manakala Chan pula menulis tiga surat – bertarikh 23 April 2004, 8 Disember 2005 dan 23 Mei 2006.

Surat Dr Ling dan Chan tersebut, kata Anwar, memberikan komitmen kerajaan sebagai penjamin untuk apa-apa liabiliti LPK untuk projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Beliau berkata, telah terbukti ia merupakan jaminan kerajaan kerana surat itu mengandungi perkataan yang bermaksud "kami akan pada setiap masa di masa hadapan memastikan LPK berada di dalam kedudukan untuk memenuhi (dan memenuhinya dengan sepenuhnya pada masa yang sepatutnya) liabiliti mereka di dalam jumlah pembayaran semula selagi mana jumlah pembayaran semula masih lagi tidak dilangsaikan...'

Kedua-dua mereka menulis surat sokongan supaya kerajaan mengambilalih syarikat Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) yang merupakan kontraktor kepada PKFZ .

Manakala empat anak syarikat ialah Special Port Vehicle Bhd, Transshipment Megahub Bhd, Valid Ventures Bhd dan Free Zone Capital Bhd.

Berdasarkan jaminan tersebut, syarikat-syarikat berkenaan, telah mengeluarkan bon bernilai RM4.6 bilion untuk Kuala Dimensi dan menerima rating AAA dari Malaysia Rating Corporation Bhd bagi projek PKFZ.

Minta BPR siasat

Anwar berkata, menurut dasar kerajaan, hanya Menteri Kewangan atau kabinet yang boleh mengeluarkan apa-apa bentuk jaminan bagi pihak kerajaan.

"Ketika saya menjadi menteri kewangan, perkara sebegini tidak pernah dibenarkan berlaku," kata bekas menteri kewangan itu dalam sidang media di pejabatnya di Petaling Jaya hari ini.

Sehubungan itu, Anwar yang kini Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) meminta kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja, selain menggesa Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat perkara tersebut.

Beliau berkata, sehingga hari ini kerajaan belum memberikan sebarang penjelasan mengenai status PKFZ dan bertanggungjawab terhadap penambahan kos RM3.5 bilion.

Katanya, untuk menutup kerugian projek yang gagal ini, kerajaan telah mengumumkan bahawa ia akan melanjutkan pinjaman berjumlah sehingga RM4.681 bilion.

"Kes ini merupakan salah satu daripada begitu banyak contoh yang mendedahkan percanggahan kepentingan, rasuah dan salah tadbir membabitkan ahli politik, tokoh korporat dan pegawai kerajaan," katanya lagi.

‘Tolak pandangan AG’

Anwar berkata, amat aneh sekali menteri pengangkutan waktu itu menolak pandangan peguam negara bahawa tanah tersebut boleh diambil untuk `tujuan awam' di bawah Akta Pengambilan Tanah pada harga RM10 sekaki persegi.

Sebaliknya, kata beliau, Kementerian Pengangkutan dan LPK membeli tanah tersebut pada harga RM25 sekaki.

"Persetujuan ini dicapai pada 2002 antara Kementerian Pengangkutan, LPK dan Kuala Dimensi tanpa kelulusan Pembedaharaan atau Kabinet," katanya.

Dalam sidang media tersebut, Anwar mendakwa antara tokoh-tokoh utama yang terbabit dengan skandal PKFZ dan menurutnya mereka mesti dipertanggungjawab terhadap kerugian yang dialami itu.

Menurutnya, mereka termasuk Bendahari Umno, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi; Ahli Parlimen MCA kawasan Alor Star yang juga bekas Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Chor Chee Heung; Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing dan Pengerusi Tetap Umno, Tan Sri Onn Ismail.


No comments: