Klip video Lingam: BPR temui Dr Mahathir semalam

Fauwaz Abdul Aziz | Dec 22, 07 2:26pm

Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah menemui bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung dengan siasatan kes klip video Lingam.

Dr Mahathir berkata beliau ditemubual oleh tiga pegawai BPR selama sejam di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya (YKP) semalam.

Badan Pencegah Rasuah menemubual saya dan bertanya soalan kepada saya. dan saya menjawabnya," kata beliau selepas melancarkan buku mengenai perundangan antarabangsa oleh pakar undang-udang, Tunku Dr Sofiah Jewa.

Klip video tersebut, yang didedahkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menunjukkan peguam Datuk VK Lingam berbual melalui telefon, didakwa dengan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim mengenai pelantikan hakim-hakim.

Ahmad Fairuz yang bersara baru-baru ini, telah menafikan dakwaan tersebut.

Dalam video tersebut, Lingam didakwa turut mengaitkan jutawan Tan Sri Vincent Tan, kroni rapat Dr Mahathir, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor, untuk bercakap dengan Dr Mahathir mengenai pelantikan hakim-hakim.

Integriti badan kehakiman

Lingam enggan mengulas mengenai klip video itu tetapi menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan suruhanjaya diraja.

Tengku Adnan juga sebelum ini, telah menafikan terbabit dalam isu-isu yang dibangkitkan dalam klip video tersebut.

Pendedahan video tersebut telah mencetuskan kemarahan pelbagai pihak yang menggesa kerajaan supaya mengambil langkah segera untuk memulihkan integriti badan kehakiman.

Berikutan itu, kerajaan telah menubuhkan sebuah suruhanjaya diraja yang diketuai oleh bekas Hakim Besar Malaya, Haidar Mohamed Noor untuk menyiasat kesahihan serta perkara perkara-perkara yang ditimbulkan dalam klip video tersebut.

Suruhanjaya itu telah menyatakan bahawa pihaknya mungkin memanggil Dr Mahathir untuk memberi keterangan dalam siasatannya.

Mengulas mengenainya hari ini, Dr Mahathir berkata, beliau akan patuh dengan arahan untuk memberi keterangan kepada suruhanjaya tersebut.

Jadi saksi

Jika saya dikehendaki memberi keterangan, jika undang-undang memerlukan saya memberi keterangan, saya tidak boleh kata tidak," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kontroversi atau tuduhan mengenai pengaturan pelantikan hakim-hakim.

Terpulanglah kepada suruhanjaya diraja itu untuk melihat sama ada wujud kebenaran atau tidak mengenai tuduhan tersebut atau di dalam klip video itu," katanya.

Ditanya sama ada Lingam atau Tan ada menemuinya mengenai isu pelantikan hakim-hakim seperti yang didakwa dalam klip video tersebut, Dr Mahathir berkata adalah mengarut untuk bertanya kepadanya mengenai perkara itu.

Saya tidak tahu sama ada Lingam menyebutnya ataupun tidak. Saya belum tengok klip video itu. Apa yang saya tengok ialah di TV, TV3. Itu saja. Saya tidak tahu. saya tidak dengar dia menyebut nama Tengku Adnan ataupun nama saya," katanya.

Ada pihak yang telah menyalahkan Dr Mahathir berhubung masalah yang timbul dalam badan kehakiman selepas pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas pada tahun 1998.


No comments: