Bantah ISA, GMI adakan himpunan di Dataran Merdeka malam esok


Anis Nazri
Fri | Dec 21, 07 | 2:13:24 pm MYT

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Hrkh) - Bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan kerajaan yang semakin rakus menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap rakyat yang dianggap mencabar kepimpinan Perdana Menteri, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menyeru orang ramai agar hadir dalam himpunan aman anjuran badan itu, di Dataran Merdeka, jam 8.00 malam esok (22 Dis 2007).

Program bertemakan 'Solidarity Vigil for ISA Detainees' itu bertujuan untuk menyatakan sokongan kepada semua tahanan ISA yang berada di Kem Kamunting (Kemta) sekarang, di samping membantah penggunaan akta zalim itu terhadap mereka.

Setiausaha GMI, E. Nalini berkata, program malam esok bukanlah untuk berdemonstrasi, tetapi lebih kepada 'peaceful gathering' tanpa ada banyak ucapan.

Katanya, ISA perlu dihapuskan kerana ia tidak memenuhi hak asasi, di mana setiap manusia perlu diberikan pengadilan yang adil dan saksama.

Tambahnya, ISA digunakan sewenang-wenangnya untuk menahan seseorang itu mengikut tempoh yang tidak diketahui tanpa dibicarakan di mahkamah.

"Justeru, GMI berharap rakyat Malaysia yang cintakan keadilan agar turut serta dalam program tersebut, kerana tanpa rakyat perubahan takkan berlaku," tegasnya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Tidak perlu permit

Menjawab berhubung soal permit bagi program tersebut, Nalini menegaskan pihaknya tidak memerlukan sebarang permit memandangkan program berkenaan tidak memerlukan permit.

"Menyertai perhimpunan adalah hak setiap individu di Malaysia. Rakyat perlu menggunakan ruang-ruang ini untuk memberikan pandangan mereka.

Suhakam sendiri mengatakan sesuatu perhimpunan itu tidak memerlukan permit polis.

Malah, Perlembagaan Malaysia turut menggariskan hak tersebut. Jadi, kita tidak perlukan permit polis dan orang ramai tidak perlu bimbang untuk menyertai program yang diadakan malam esok, lebih-lebih lagi program anjuran kita ini adalah aman" tegas beliau lagi.

Kebelakangan ini, Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengeluarkan kenyataan yang menakut-nakutkan rakyat untuk keluar berhimpun dengan mengenakan tindakan ISA.

Malah, beberapa pimpinan Hindraf turut ditahan di bawah akta tersebut.

Pada 13 Disember lalu, lima pemimpin Hindraf yang ditahan ialah P. Uthayakumar, M. Manoharan, R. Kenghadharan, V. Ganabatirau dan T. Vasanthakumar.

Mereka ditahan di bawah Seksyen 8 (1) ISA yang membenarkan penahanan seseorang sehingga tempoh dua tahun dan terus dihantar ke Kemta.

Kelazimannya, seseorang ditahan di bawah Seksyen 73 ISA iaitu penahanan selama 60 hari untuk disoalsiasat sebelum dinilai Menteri Keselamatan Dalam Negeri, iaitu Abdullah sendiri sama ada dilanjutkan atau tidak penahanan tersebut di bawah Seksyen 8.

Harakahdaily difahamkan, setakat ini terdapat seramai 74 orang yang ditahan ISA di Kemta, Perak sehingga 29 Ogos 2007.

Ramai di antara mereka yang ditahan kerana didakwa kononnya penglibatan mereka dalam Jemaah Islamiah (JI) dan Darul Islam (DI), selain yang ditahan kerana penyeludupan pendatang tanpa izin, pemalsuan dokumen dan pasport dan pemalsuan syiling RM1./wann


No comments: