Pembesar jangan kuasai raja-raja, biar raja dan majlisnya buat keputusan


Ali Bukhari Amir
Thu | Nov 29, 07 | 2:14:46 pm MYT

Pemerintahan dalam alam Melayu diperhitungkan melalui pemerintahan raja dan rakyat. Antara raja dan rakyat, wujud pembesar yang menjadi perantaraan antara rakyat dan raja.

Mereka rapat dengan raja secara idealnya bagi membantu pentadbiran. Pembesar asalnya rakyat juga. Rakyat dijadikan pembesar setelah berjasa bakti kepada rakyat dan sultan.

Ketika British tiba, wujud golongan M.C.S (Malayan Civil Services) yang kemudiannya digelar PDLN (Pegawai Dalam dan Luar Negeri). Mereka ini seperti pembesar untuk British juga. Oleh kerana kedudukan mereka sebagai perantaraan inilah maka banyak maklumat mengenai kesengsaraan rakyat yang tidak sampai ke pengetahuan raja-raja.

Dalam kes Abdullah pun begitu juga. Hampir semua maklumat dari pembesar yang dicerap Abdullah menyatakan rakyat Tanjung dalam keadaan aman sentosa makmur bahagia. Akhirnya, baru beliau tersedar bahawa masih ada sebilangan keluarga mangsa tsunami yang tidak boleh menduduki rumah yang memang tersedia buat mereka. Ini menyebabkan Abdullah marah.

M.C.S pun demikian juga. Salah satu kritikan yang ditemukan di dalam majalah Dian menyebutkan bahawa cara hidup mereka tidak teratur dan bersalahan dengan ajaran Islam.

"Kita dapati pegawai M.C.S kurang beriman dalam erti kata mereka tidak menepati suruhan Islam yang menghendaki seorang Muslim sembahyang lima kali sehari… namun ini tidak bermakna semua pegawai M.C.S muda tidak sembahyang lima kali sehari," demikian catatan Chew Hock Thye dalam Dian bilangan 59, 1973.

Seorang pengkaji tempatan, Mokhzani, B. A. R dalam makalah berjudul "The Study of Social Stratification and Social Mobility in Malaya" (Jurnal East Asian Cultural Studies, 1965) menulis: "Pegawai-pegawai M.C.S sering menyedari tentang status dan kelasnya. Misalnya, di hujung surat mereka itu, mereka lebih suka menggunakan gelaran M.C.S daripada gelaran B.A. Hons atau B.Sc. Hons."

"Kerana mereka terlalu menyedari tentang kelas serta statusnya," tulis Encel S., seorang pengkaji luar di dalam buku Equality and Authority (1970), "mereka sering memandang rendah atau tidak suka bergaul-gaul dengan orang-orang bawahan. Tegasnya, kesedaran kelas mereka itu telah menjadi ‘suatu imej sosial, suatu ideologi yang mengacau kelakuan serta suatu aspek perhubungan antara individu serta perlakuan."

Secara peribadi saya jadi minat mencari bahan tentang M.C.S ini setelah menonton 1957 Hati Malaya (lakonan Karin M. mantan kekasih Khairy De Brooke) di mana Tunku mendapat tentangan kuat daripada M.C.S ini setelah menggantikan Onn sebagai Presiden Umno.

"Tak pa la, kami pun tak perlukan sokongan pegawai M.C.S," kata Tunku disambut laungan keras daripada Sardon (yang kemudiannya bergelar Tun).

Dalam suatu babak yang lain, ketika Tunku datang berceramah di sebuah gerai makanan di Kg. Baru, Kuala Lumpur , sekali lagi Tunku menyebutkan, "Dulu, ketika kita berusaha mencapai kemerdekaan, orang-orang M.C.S tidak sokong perjuangan kita."

Siapakah M.C.S? Sejauhmana pengaruh mereka dalam kehidupan masyarakat ketika itu? Demikian pertanyaan yang sentiasa hadir dan begitulah saya sejak dulu, belajar sesuatu lewat dialog filem dan kemudian selongkar maklumat berikutnya melalui internet.

Mestilah M.C.S ini berpengaruh dan berperanan besar juga. Bagi saya yang lahir selepas merdeka, tentu banyak rahsia terpendam yang perlu digali semula. Mereka ini pro Dato’ Onn berbanding Tunku. Hal yang menyebabkan wujud sokongan itu tidak diketahui secara tepat.

Menurut kajian pihak-pihak di atas, kesimpulannya mereka inilah orang kaya, membazir, mewah, bergaji besar (tapi nafsu berbelanja pun besar juga), dan mereka ini tinggal di Kenny Hill, Damansara Heights , Petaling Jaya dan lain-lain perumahan mewah.

Apa yang menjadi perbincangan kali ini bukanlah darihal kekayaan dan sifat bermewah mereka, tapi bagaimana kekayaan dan kesenangan ini menyebabkan mereka menjadi watak yang suka menutup mulut, enggan berjuang demi membela kebenaran.

Jika M.C.S adalah 'pembesar' British yang suka berlagak sombong dengan orang-orang kebanyakan, demikian juga sikap ini diwarisi oleh kalangan pembesar-pembesar yang ada kini. Mereka gagal menjadi perantaraan yang tulen dalam erti kata yang sebenarnya.

Di dalam tradisi Melayu lama, seorang rakyat yang berjasa itu akan dikurniakan jawatan, sepersalinan, rumah dan tanah daripada raja dan akhirnya mereka jadi pembesar. Mereka kaya dengan sebab pemberian raja-raja. Keturunan zuriat pembesar ini mewarisi harta orang tua mereka. Tapi, zuriat pembesar inilah yang nantinya tidak sedar diri dan besar kepala kerana hidup mewah dan tidak pernah hidup susah.

Apabila raja dipengaruhi pembesar yang jahat, hal ini antara yang paling mengecewakan dan meresahkan rakyat. Banyak bala menimpa rakyat akibat pembesar sesebuah negeri menghasut raja membuat kejahatan dan membisikkan kalimat yang tidak benar sehingga raja-raja gagal membuat keputusan, pehitungan dan pertimbangan sendiri.

Saya menulis begini kerana teringat bagaimana MB Pahang yang berdiri angkuh di sisi Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah ketika baginda ditanya wartawan mengenai Bersih yang menganjurkan perhimpunan pada 10 November lalu. Kata baginda:

"Tidak manis dalam perkara ini kita heret nama baginda. Elok dihentikan dakwaan ini secepat mungkin kerana dalam Islam kita tidak boleh memfitnah antara satu sama lain,"titah baginda pada 17 November lalu, seminggu selepas perhimpunan Bersih.

"Saya dengan penuh kepercayaan yakin Seri Paduka tidak ambil bahagian apa-apa dalam perhimpunan itu tetapi baginda difitnah. Saya tetap di sisi menyokong baginda," titahnya lagi sambil meminta rakyat Pahang tidak terlibat di dalam sebarang perhimpunan haram.

MB Pahang tentulah tidak akan mengesyorkan media supaya bertanya kepada sultan lain juga termasuk Raja Dr Nazrin dan Sultan Azlan Syah. Kalau beliau mahu menjadi orang perantaraan yang tulen dan bijaksana tentu beliau berkata: "Cuba media bertanya raja lain sama. Mana mungkin pandangan seorang raja menenggelamkan suara hati raja-raja lain?"

Tapi yang bernama pembesar, jelmaan M.C.S atau pembesar desa J.K.K.K tidak mungkin akan berkata demikian. Malah beliau lebih suka mengangguk setuju dan rela membiarkan raja tidak mendapat maklumat lengkap. Raja patut tahu penipuan jenis apa yang sedang membungkus SPR sejak dulu, kini dan buat selama-lamanya jika rakyat tidak bertindak.

Oleh kerana demikian besarnya pengaruh M.C.S ke atas British dan pembesar Melayu ke atas raja-raja di satu masa dahulu, maka Syekh al-Mahdani (Mufti Kedah di zaman Sultan Muhammad Jiwa, 1710 – 1778) telah merakamkan fikirannya bertajuk 13 Sifat Menteri yang boleh ditemukan dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah oleh Muhammad Hassan bin Dato’ Kerani Muhammad Arshad.

Antara 13 wasiat al-Mahdani terhadap kaum bangsawan itu, saya kutip dua saja yang ada kaitan dengan perbincangan di sini.

"...hendaklah menteri-menteri itu benar-benar menjaga hukum-hukum raja supaya jangan bersalahan dengan hukum-hukum Allah dan adat yang telah diadatkan di dalam undang-undang negeri. "

"...hendaklah menteri-menteri itu jangan sekali-kali menunjukkan kerasnya atas segala rakyat dengan membesar-besarkan diri, dan hendaklah menteri-menteri itu tentukan harta perbendaharaan yang belum masuk ke dalam perbendaharaan..."

Syahadan, tersebutlah perkataan seorang mufti yang menulis di laman sesawangnya tatkala merumuskan pandangan peribadinya tentang perhimpunan anjuran Bersih pada 10 November lalu di mana beliau menegur kedua-dua belah pihak; kerajaan dan rakyat.

Kata mufti: "Bagi seorang muslim, penglibatannya dalam apa-apa aktiviti pun, hendaklah dilihat kepada persoalan-persoalan berikut;

1. Apakah tujuan sesuatu aktiviti dan gerakan itu dilakukan?

2. Apakah nilaian tindakan tersebut di sisi al-Quran dan al-Sunnah?

3. Apakah kesannya terhadap umat Islam dan manusia keseluruhan jika dinilai secara adil dan ilmiah?

Janganlah kita sendiri tidak faham akan tujuan kita melainkan menjadi pengikut semata. Apakah tindakan atau cara yang kita ambil mendapat keizinan syarak dalam ertikata lain tidak bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar? Juga adakah memberikan kesan yang baik kepada umat Islam khususnya dan manusia amnya. Kita boleh melihat dan menilai kesan yang telah berlaku kepada dunia lain yang mengambil tindakan yang sama.

Tuntutan demokrasi tulen juga hendaklah dinilai dari segi Islam, adakah itu bersifat quranik atau sebaliknya. Kemudian, adakah dalam dunia ini demokrasi tulen? Jika keadilan yang dituntut secara yang betul, saya menyokongnya.

Akhirnya, saya ingatkan juga para pemerintah, hendaklah berlaku adil kepada sekelian rakyat selaras dengan ajaran Islam. Ketahuilah ketidakadilan itu akan menimbulkan kegelisahan rakyat. Bersikap lunak dengan rakyat dan jangan diganggu hak-hak mereka selagi ia tidak mencemarkan keamanan umum."

Tamat kalam mufti itu di sini. Bagaimanapun, suka saya syorkan beberapa hal.

Apakah beliau mahu lanjutkan debat bersama rakyat tentang kenyataan beliau itu? Oleh kerana saya tidak tahu status laman sesawang beliau, maka saya tidak tahu apakah hal itu kenyataan rasmi seorang mufti atau tidak.

Jika ungkapan itu mewakili pandangan peribadi, maka saya syor kan kenyataan itu dipindah ke laman sesawang pejabat mufti negara agar ia boleh dibincangkan bersama rakyat. Dan, banyak faedah yang boleh dimanfaatkan melalui kenyataan berstatus 'fatwa' itu.

Misalnya, jika seorang Mufti Terengganu berfatwa, "FRU haram guna molotov cocktail, gas pemedih mata, water Cannon ke atas demonstran," maka bolehlah ahlul demonstran itu membuat perhimpunan siri kedua pula di Batu Burok.

Kalau fatwa itu termuat dalam laman sesawang pejabat Mufti Perlis, Pulau Pinang, Perak sampailah ke Sabah yang berbunyi, "Makruh bagi PDRM jika mereka tidak memberi permit perhimpunan tanpa sebarang alasan ATAU haram bagi PDRM jika tidak memberi permit melebihi kali," maka baru kuat sedikit usaha membela kebenaran di negara ini.

Ada beza ketara antara Forum Hal Ehwal Islam dengan Bicara Mufti. Setinggi-tinggi kata seorang mufti terletak pada fatwanya. Bukan hanya pandangan biasa yang tercurah dalam forum biasa. Ramai ustaz bloggers sekarang ini. Jadi, tiada bezanya jika ucapan mufti itu diucap secara biasa seperti ustaz tersebut. Beza mufti dan ustaz terletak pada fatwa itulah.

Fatwa itu, kalau digazetkan akan menjadi perundangan, hukum-hakam di sesebuah negeri dan negara. Ertinya, jika mufti Wilayah Persekutuan tidak gazetkan fatwa di kawasannya, rakyat masih boleh berdemo di Perlis yang telah mengharuskan demo di negeri itu (sebagai contohlah). Kalau tak berani berfatwa di sana sini, boleh digerakkan kempen 'Mufti Bersama Rakyat' anjuran Bersih pula kali ini. Renungkan peraturan yang dibekalkan oleh al-Mahdani di bawah.

"...hendaklah menteri-menteri itu benar-benar menjaga hukum-hukum raja supaya jangan bersalahan dengan hukum-hukum Allah dan adat yang telah diadatkan di dalam undang-undang negeri. "

Semak semula perundangan negara kita; Auku, ISA dan lain-lain akta yang digubal dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri itu. Ia bertepatan dengan al-Quran dan as-Sunnah?

"...hendaklah menteri-menteri itu jangan sekali-kali menunjukkan kerasnya atas segala rakyat dengan membesar-besarkan diri, dan hendaklah menteri-menteri itu tentukan harta perbendaharaan yang belum masuk ke dalam perbendaharaan..."

Kaji semula adakah menteri menunjukkan lemah lembutnya tatkala menyebutkan: "Saya pantang dicabar!" lalu keesokannya diikuti pancutan water Canon, Molotov dan lainnya walhal al-Mahdani menyeru menteri-jangan menunjukkan kekerasan ke atas rakyat dan tidak membesarkan diri sebagai para pegawai M.C.S di era British dan J.K.K.K di zaman ini?

Syahadan, hendaklah yang alim-ulamak itu menuangkan hikmah dan pandangannya itu di dalam laman sesawang Pejabat Mufti adanya. Semoga beroleh pahala jihad kerana berani mengungkap kebenaran di depan pemimpin yang zalim seperti yang disebutkan di dalam hadis nabi "Afdhalul jihad kalimatu 'adlin 'inda sultonin ja'irin."

Semoga mufti dan agamawan dapat berfungsi pula sebagai perantaraan secara tidak rasmi antara raja – rakyat sepertimana halnya kalangan pembesar dan M.C.S yang lupa daratan itu.

Dan kalau mati ia lantaran berjihad menyampaikan kebenaran termasuk mempertahankan setiap inci daerah fatwa itu maka terhitunglah kewafatannya sebagai syahid adanya. Dan, berilah peraturan ke atas rakyat juga tentang adab demonstrasi supaya menjadi seimbang antara pesanan dan wasiat ke atas rakyat, raja dan khasnya untuk kalangan PEMBESAR itulah. Wallahu 'alam.

Sekolah Pemikiran Kg. Baru,
29 November 2007, 1:14 p.m


No comments: