BAGAIMANA NAT DITAHAN



DETIK DETIK TANGKAPAN NATHANEIL TAN


Pukul 4.30 petang, Jumaat, 13 Julai lalu, tiga orang anggota polis berpakaian biasa datang ke pejabat Yayasan Aman di Phileo Damansara (1) Petaling Jaya.

Salah seorang anggota polis itu meminta Nathaniel Tan mengikut mereka ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk disoal siasat.

Menurut saksi, anggota polis berkenaan tidak menunjukan sebarang kad kuasa dan tidak memberi sebarang alasan ketika meminta Nathaniel mengikut mereka.

“Tolong bekerjasama dan ikut kami sekejap, kami nak cakap sedikit.” Kata salah seorang anggota polis itu yang sempat didengari oleh saksi.

Anggota polis berkenaan juga meminta Nathaniel membawa bersama komputer ribanya. Dipercayai Nathaniel disoalsiasat berhubung beberapa tulisan di internet. Beliau juga merupakan seorang bloger terkemuka.

Ketika berada ditempat letak kereta tingkat bawah pejabatnya, Nathaniel telah menghubungi peguam Latheefa Koya. Nathaniel diminta supaya berada ditempat letak kereta itu sementara menunggu peguam.

Bendahari Agung KeADILan, William Leong (juga seorang peguam) yang mempunyai pejabat di Phileo Damansara (1) telah bergegas ke tempat parking kereta itu tetapi mendapati Nathaniel telah tiada di situ.

Polis juga telah pergi ke rumah Nathaniel pada petang yang sama dan merampas komputernya.

Pada pukul 10 malam hari yang sama, pihak polis mengesahkan bahawa Nathaniel telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Anggota keluarganya dan 20 orang rakan-rakannya telah berkumpul di luar ibupejabat polis itu, termasuk yang membawa sepanduk mendesak supaya Nathaniel dibebaskan.

Menurut polis, Nathaniel akan ditahan selama 24 jam oleh Unit Jenayah Siber di Jalan Dato Onn untuk membantu siasatan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Nathaniel kemudiannya dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan dijangka dihadapkan ke mahkamah majistret untuk ditahan reman pada kira-kira jam 4.30 petang keesokan harinya.

Pukul 1.30 tengahari, Sabtu, 14 Julai lalu, tiga jam lebih awal dari masa yang diberikan malam sebelumnya, Nathaniel telah dikenakan tahanan reman selama empat hari untuk disiasat dibawah Seksyen 8, Akta Rahsia Rasmi 1972.



Nathaniel adalah seorang graduan dari Universiti Harvard pada tahun 2004 dalam Sarjana Sastera pengkhususan Pengajian Keamanan dan Koflik. Sebelum itu, beliau tamat pengajian A Level di Kolej Sunway.Nathaniel adalah aktif dalam pelbagai kegiatan pertubuhan bukan kerajaan dan aktiviti-aktiviti antarabangsa. Beliau pernah bekerja di Dili, Timor Timur; Freetown di Sierra Leone di bawah UN-GOSL SCSL, dan Banda Aceh di Indonesia di bawah JRS Indonesia.Nathaniel yang berumur 26 tahun kini adalah setiausaha Anwar Ibrahim dalam Foundation for Future (FFF).

No comments: